Baca 3 Surah Untuk Menjadikan Anak
Pandai
KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 6,
gemar membaca surah Maryam, Yusuf dan Luqman sebagai amalan harian, terutama
pada waktu lapang ketika mengandungkannya.
Serihana Elias, 30, berkata, dia juga tidak dapat melupakan peristiwa
bermimpi melihat sebutir berlian di langit, hasil gabungan lima bintang yang
cukup terang dan bersinar-sinar ketika berusia belasan tahun dan percaya ia ada
kaitan dengan kelahiran Adi Putra.
“Mengandungkannya tidak sama mengandungkan dua anak yang lain. Naluri
untuk mengaji dan membaca tiga surah berkenaan lebih kuat. Kalau hari ini saya
membaca surah Maryam berulang-ulang kali, keesokannya pula saya membaca surah
Yusuf dan Luqman,” kata Serihana, ketika menceritakan amalan dilakukannya
ketika mengandungkan anak bongsunya itu.
Serihana yang mendirikan rumah tangga dengan Abdul Ghani Abdul Wahid,
ketika berusia 18 tahun, berkata amalan membaca al-Quran ketika mengandung
sudah menjadi kebiasaan kepada dirinya.
“Ketika mengandungkan dua anak yang lain iaitu Amirul Ezuan, 10, dan Seri
Amelia, 8, saya tidak menumpukan kepada tiga surah saja, sebaliknya akan
membaca keseluruhan surah dalam al-Quran,” katanya yang pernah menjadi guru
sandaran di Sekolah Menengah Slim River, Perak, selama lima tahun.
Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya dianggap
pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan
kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru gemar merujuk kepadanya mengenai
formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.
Dia sering menghadiri majlis motivasi anjuran pelbagai pihak dan sehingga
kini sudah menerima 26 sijil penghargaan, termasuk diiktiraf sebagai pakar
motivasi daripada Majlis Guru Besar Daerah Larut, Matang dan Selama.
Kepintarannya juga menyebabkan ada sekolah rendah dan menengah
menjemputnya untuk memberikan motivasi, selain dua institusi pengajian tinggi
seperti Politeknik Tanjung Malim dan Universiti Sains Malaysia
(USM).
Semalam, Adi Putra, ditemani bapanya, Abdul Ghani, 47, dan Serihana
menghadiri Program Malaysia Hari Ini
(MHI) di TV3.
Esok pula, Adi Putra akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Menurut Serihana, dia tidak dapat melupakan mimpi itu sampai bila-bila
kerana bukan mimpi biasa sebagai mainan tidur.
“Mimpi itu penuh makna kerana saya melihat lima bintang membentuk sebutir
permata yang bersinar-sinar di langit.
“Mulanya saya sangka kehidupan menjadi semakin hebat sebelum berkahwin,
tetapi biasa saja. Bagaimanapun, selepas berkahwin dan menimang cahaya mata
bernama Adi Putra, barulah saya sedar mungkin mimpi itu sebagai petunjuk
kelahiran insan istimewa,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengatakan kepintaran luar biasa Adi
Putra dikesan ketika anak bongsunya itu dapat menghafal sifir Matematik sekali
gus membetulkan kesilapan sifir yang diperdengarkan abang sulung.
“Adi Putra anak yang istimewa. Dia mempunyai aura yang sama sekali tidak
dimiliki kanak-kanak lain seusianya. Kepintarannya agak luar biasa sehingga
mampu menyelesaikan masalah Matematik, selain mencipta formulanya sendiri.
“Saya sama sekali tidak menduga Adi Putra mampu menghafal sifir. Mustahil
bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun dapat menghafal sifir berkenaan.
Lagipun dia tidak pernah mendapat pendidikan secara formal di sekolah ataupun mendalami
subjek itu.
“Pada mulanya Adi Putra sekadar menangis meminta untuk dia turut sama
menghafal sifir seperti abangnya. Bagaimanapun saya tersentak, selepas dia
mampu menghafal sifir dua, sebelum menghafal keseluruhan sifir terakhir iaitu
dua belas,” katanya.
Sambil berbangga dengan kepintaran anaknya, Serihana berkata, dia bukan
saja seorang pintar, tetapi bercita-cita untuk menjadi Profesor Matematik Islam
berjaya sekali gus menyebarkan ilmu dimiliki kepada masyarakat.
Sikap suaminya yang penyayang dan mengambil berat terhadap anak sedikit
sebanyak menaikkan motivasi Adi Putra dan anak lain.
“Dua petua yang diamalkan abang yang sewajarnya diikuti ibu bapa,
pertamanya mereka perlu memilih nama yang baik dan keduanya nama anak perlulah
dipanggil dengan nama penuh kerana mempunyai kaitan dengan pintu rezeki
mereka,” katanya.
Difahamkan Adi Putra yang bertemankan sebuah komputer akan dapat
menyelesaikan masalah Matematik atau menemui formula baru, selepas mendapat
ilham antara jam 12 tengah malam sehingga empat pagi.
Dia turut menanam azam tinggi untuk menabur bakti seperti idolanya iaitu
Naib Canselor Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Prof Datuk Dr
Ismail Md Salleh.
Adi Putra pernah menunjukkan kepintaran luar biasanya dalam ujian kepintaran
minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru, Kuala Kurau, Perak apabila
memberi jawapan betul dan pantas mengalahkan 19 guru dan 230 murid Tahun Satu
hingga Enam sekolah berkenaan.
Malah, kanak-kanak itu hanya mengambil masa kurang satu minit menjawab
soalan asas matematik, manakala soalan peringkat sekolah menengah dan asas
universiti pula kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan
ingatannya.
Su_Lee
0 comments:
Post a Comment