Oleh Rosnah Ahmad
SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang
mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut
untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran,
cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika
penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali
ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila
tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih
menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.
Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh
dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi
berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan.
Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga
seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang
belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana
permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi
kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas
selesai bercerita cukup menghiburkan.
Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan. Peranan cerita
adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu
kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan
penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni
melalui peristiwa yang diungkap dalamnya. Ramai ibu bapa merungut apabila anak
seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau
mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia.
Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi
tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia
lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana
perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhakamungkin biasa
bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.
Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhakaadalah dengan
bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan
lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya
dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka.
Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak.
Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya
mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan
cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada
adik baru. Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk
bertanya apa saja persoalan yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat
menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut
kehadiran adik baru.
Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh
cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun
ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak.
Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati
anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang.
Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan
dihargai.
Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja
mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran
masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita.
Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita
kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih
memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang
tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita
yang dibaca.
Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi
banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan
al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada
tandingannya.
Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam
al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: Maka ceritakanlah kisah-kisah itu
agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)
Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan
kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka
membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk
membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.
Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai
kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan
tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan
tumbuh-tumbuhan.
Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat
membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.
Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan
mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali
watak Abuyang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik
kampung dan Abu dapat adik baru.
Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah
anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan
dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini lebih berkesan
kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat
berbanding menasihati mereka secara terus.
Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara
lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita
yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik
perhatian anak-anak.
Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang
sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan
cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran
yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti
keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.
PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak dan boleh dihubungi
melalui wanitajim0@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment