Thursday, 17 October 2013
Pastikan orang Melayu bandar terpelihara
UTUSAN: Bolehkah saudara terangkan serba sedikit mengenai penubuhan SHEB?
TENGKU AZMAN: SHEB sebenarnya baharu ditubuhkan pada 2009. Pada ketika itu, UMNO berada dalam kritikal kerana dakyah pembangkang dan saya meminta jasa baik Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin agar ditubuhkan satu biro Pemuda UMNO khusus untuk masyarakat bandar. Saya memilih pendekatan politik khidmat bakti kerana tidak sama sekali kita membuat silap sekiranya niat kita membantu orang.
Apakah antara program yang digerakkan SHEB untuk membantu masyarakat bandar?
TENGKU AZMAN: Dalam setiap program yang kami lakukan, kami konsisten. Misalannya program Food For Life untuk gelandangan. Kami memulakannya sejak tahun 2010 dan diteruskan sehingga sekarang. Selain bantuan makanan, kami juga menawarkan pekerjaan, perubatan serta membantu mereka pulang ke kampung halaman. Hasilnya, jika pada tahun 2010, kami memberi makan seramai 1,500 orang tetapi sekarang hanya tinggal 200 orang.
SHEB juga memainkan peranannya untuk UTC Pudu dan BL1M diwujudkan, bolehkah saudara jelaskan?
TENGKU AZMAN: Sejak daripada penubuhan SHEB lagi kami berjuang agar bangunan Pudu Sentral dinaik taraf dan Alhamdulillah, UTC Pudu telah direalisasikan kerajaan. Idea untuk BL1M pula diperoleh selepas saya bergaul dengan mat-mat motor yang tidak berlesen. Mereka ini sebenarnya perlu didekati dan dibantu. Hasilnya, seramai 145,000 orang kini layak mengambil BL1M. Daripada pakej lesen yang biasanya mencecah RM400, BL1M hanya mengenakan bayaran sebanyak RM199.
Saudara, baru-baru ini, sebanyak 10 akademi dan institut memandu telah membawa BL1M ke mahkamah kerana mendakwa program itu menyalahi undang-undang?
TENGKU AZMAN: Saya melihatnya begini, saya bersama kerajaan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MYEG (MY E.G. Services Bhd.) telah disaman oleh 10 akademi dan institut memandu itu yang mendakwa mereka kehilangan pendapatan. Begitupun, BL1M mendapat sokongan 120 institut dan akademi memandu yang bersama dengan kami. Program ini memberi manfaat kepada beratus ribu rakyat yang tidak berkemampuan. Kita juga melihat kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan program MyLesen untuk golongan muda.
Selain Exco Pemuda, saudara juga adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bintang, apa antara perkara diperjuangkan saudara menerusi kedua-dua platform ini?
TENGKU AZMAN: Kita sebenarnya mengadakan sebanyak 250 program setahun. Kami telah memperjuangkan rumah transit untuk orang muda dan Alhamdulillah, idea ini disambut baik kerajaan. Kami juga mengadakan program khatan beramai-ramai, sumbangan kanopi untuk tanah perkuburan serta program Wira-Wira Kota sebagai menghargai para polis, bomba, kastam dan kakitangan hospital.
Kita tahu Bukit Bintang adalah kawasan majoriti masyarakat Cina dan bukannya kerusi untuk UMNO tetapi mengapa UMNO Bahagian Bukit Bintang ini begitu penting?
TENGKU AZMAN: Perjuangan UMNO Bahagian Bukit Bintang adalah untuk memastikan orang Melayu di dalam bandar sentiasa terpelihara. Sebenarnya, peranan kita bukan hanya kepada orang bandar tetapi juga kepada orang luar yang bekerja di bandar. Kita kena buktikan peranan UMNO di bandar agar mereka yang pulang ke kampung halaman akan turut tersentuh dan mengundi BN.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Umno_2013/20131017/um_24/Pastikan-orang-Melayu-bandar-terpelihara#ixzz2i3P1KSqk
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment