Friday, 18 October 2013

Solat Tapi Hidup Tidak Bahagia





Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.

Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?

Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah?

Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.

Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.

Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.

Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, “Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi” dan kalimah seterusnya “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.

Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini, iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; “.. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”

Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?

Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.

Baca lagi..

Sumber :

0 comments:

Post a Comment